Thursday 3 May 2012

Are you going to finish strong?


Kepelbagaian Pelajar dan Sekolah: Satu Kajian Kes di Negeri Pahang


Kepelbagaian pelajar ialah asas untuk menginklusifkan sekolah supaya keperluan semua pelajar dapat diberi layanan untuk mengoptimumkan pembelajaran mereka. Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat perspektif pelajar terhadap kepelbagaian sekolah. Domain dari School Directory Inventory (Gottfredson & Jones 2001) digunakan. Kepelbagaian sekolah dari aspek pelajar adalah merujuk kepada faktor jantina, kaum, kawasan tempat tinggal dan pendapatan keluarga. Metodologi yang digunakan adalah kaedah tinjauan dengan menggunakan kaedah soal selidik. Kajian ini adalah merupakan satu kajian kes yang melibatkan seramai 335 orang pelajar dari daerah Temerloh, Maran, dan Kuantan di negeri Pahang. Data dianalisis menggunakan SPSS (Statiscal Package For The Social Science Versi 15) menggunakan kaedah deskriptif dan inferensi iaitu min, ujian-t dan ANOVA. Melalui kajian rintis yang dilakukan di dapati kebolehpercayaan alat kajian berdasarkan Cronbach Alfa adalah di tahap yang tinggi iaitu 0.803. Dapatan kajian menunjukkan tahap min perspektif pelajar terhadap kepelbagaian sekolah adalah di tahap yang sederhana iaitu 2.70. Analisis ujian-t pula menunjukkan terdapat perbezaan signifikan di bawah aras 0.5 bagi perspektif pelajar terhadap kepelbagaian sekolah berdasarkan jantina dan kaum. Berdasarkan analisis Anova, perspektif pelajar terhadap kepelbagaian sekolah berdasarkan kaum, pendapatan keluarga dan kawasan tempat tinggal menunjukkan perbezaan signifikan. Situasi ini menunjukkan latar belakang pelajar mempunyai hubungan terhadap tahap penerimaan kepelbagaian sekolah. Implikasi kajian menunjukkan pelbagai pihak khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia seharusnya berusaha untuk meningkatkan tahap penerimaan kepelbagaian sekolah dalam kalangan pelajar bagi menjamin kualiti pendidikan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan keupayaan pelajar ke arah slogan “Satu Malaysia”

Guru perlu peka

Pengetahuan mengenai latar belakang pelajar serta budaya dan gaya pembelajaran pelajar sedikit sebanyak membantu guru dalam menyediakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ke atas setiap pelajarnya. Hal ini kerana sebagai seorang guru perlulah peka terhadap para pelajar dalam memahami kepelbagaian yang ada di dalam diri setiap pelajar. Tidak semua pelajar itu mudah untuk menerima pengajaran kerana latar belakang pendidikan yang berbeza serta sosio budaya yang berbeza. Sebagai seorang guru, hendaklah sentiasa sabar dan mempelbagaikan pengajaran agar para pelajar dapat memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu meningkatkan kemahiran-kemahiran yang berkesan dan pengajaran secara kreatif dan kritis untuk menarik perhatian para pelajar untuk belajar. Guru juga perlu menunjukkan sikap dan nilai yang baik di dalam pengajaran untuk bimbingan hidup mereka.

Sebagai seorang guru tugasnya bukan sahaja mendidik dan melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar tetapi juga mempunyai satu tugas yang besar dalam memahami dunia pendidikan yang sebenar terutama pengurusannya di dalam sesebuah bilik darjah. Tambahan pula suasana kini pelajar yang wujud adalah datang dari pelbagai latar budaya antaranya adalah usia, jantina, bangsa, agama, etnik, personaliti, bahasa, status ekonomi keluarga,kesihatan, lokasi tempat tinggal, emosi, fizikal, tingkah laku dan sosial.

Justeru, menerusi Jadual Penentu Kandungan dan juga Jadual Banding Beza, para guru dapat membezakan satu-satu aktiviti dalam menentukan corak pengajaran. Guru juga dapat melihat dengan jelas apa yang perlu dirancangkan di dalam aktiviti bagi menghasilkan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna dan berkesan.

Rancangan Pengajaran

Sebelum memulakan sesuatu sesi P&P, guru perlu sedar bahawa tujuan utama pengajaran ialah mewujudkan aktiviti pembelajaran. Guru perlu menggunakan segala kemahiran dan kebolehan mengajar bagi memudahkan aktiviti pembelajaran berlansung dan berkesan. Setiap aktiviti yang direncanakan perlu mempunyai objektif dan matlamat pembelajaran yang ingin dicapai dan tidak hanya aktiviti semata-mata. Semua aktiviti haruslah dirancang dengan sebaik-baiknya bagi tujuan meransang pelajar untuk belajar dan mengekalkan minat untuk terus belajar. Oleh hal demikian, objektif utama pengajaran ialah membawa hasil pembelajaran dengan membentuk perubahan tingkahlaku daripada satu tahap yang rendah ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Oleh hal demikian guru harus bijak merangka rancangan pengajaran harian yang mengambil kira setiap aspek kepelbagaian pelajar yang wujud didalam sesebuah kelas.

Peranan Guru

Guru merupakan perantara atau penghubung antara ilmu dan pelajar. Oleh hal demikian guru merupakan elemen terpenting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Justeru itu, guru perlu mengetahui dan bijak dalam menghadapi perbezaan individu dan kepelbagaian pelajar. Antara peranan yang harus guru-guru laksanakan ialah:


Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran
Dalam konteks ini, guru harus bijak memilih strategi pengajaran bergantung kepada situasi pelajar


Memberi peneguhan positif dan peneguhan negatif
Peneguhan positif bermaksud guru memberi pujian atau hadiah kepada suatu tingkah laku positif. Sebaliknya, peneguhan negatif dilaksanakan apabila tingkahlaku pelajar menunjukkan sesuatu yang tidak dikehendaki guru.

Teknik motivasi
Memandu tingkah laku pelajar ke arah yang lebih dinamik. Harus diingat bahawa guru merupakan individu yang paling berpengaruh dan mampu mempengaruhi pelajar.

Mempelbagaikan kaedah mengajar
Guru harus berusaha untuk mempelbagaikan kaedah mengajar dan meletakkan persepsi terhadap pelajar secara generalisasi

Merancang variasi penyampaian
Guru harus berusaha menjadikan sesi P&P sebagai satu sesi yang cukup bermakna dan berkesan. Intonasi,kebolehan dan bakat guru diperlukan semasa berhadapan dengan pelajar.

Nasihat dan kaunseling pembelajaran
Setiap individu mempunyai teknik pendekatan yang berbeza-beza. Justeru itu guru harus tahu pendekatan yang bersesuaian serta etika kaunseling dengan pelajar

Hubungan yang baik dengan keluarga pelajar
Pelajar disekolah kadangkala mempunyai perwatakan berbeza di rumah. Oleh hal demikian guru perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga pelajar.

Gaya Pembelajaran

Pada asasnya guru harus sedar bahawa terdapat tiga jenis gaya pembelajaran yang wujud dikalangan pelajar iaitu:
  • Visual – suka belajar dengan melihat
  • Audio – suka belajar dengan mendengar atau bercakap
  • Kinestetik – suka belajar dengan membuat atau melakukan sesuatu
Sebaliknya, Dunn & Dunn (1978) telah mengkategori gaya pembelajaran kepada 18 kategori berdasarkan unsur-unsur asas yang kemudiannya diklasifikasikan kepada lima perkara sahaja berdasarkan rangsangan (stimuli) iaitu:
  1. Alam sekitar (cerah -gelap; muzik – sunyi; formal – tidak formal; panas – sejuk)
  2. Emosi (berstruktur – tidak berstruktur; bermotivasi tinggi – tidak bermotivasi)
  3. Sosiologi ( Ingin belajar bersendirian – dalam pasangan/kumpulan)
  4. Fizikal (auditori; visual; taktual mobiliti tinggi – kurang bermobiliti)
  5. Psikologi (impulsif – reflektif; global -analitik)
Carl Jung turut menjelaskan bahawa terdapat empat gaya pembelajaran umum yang berkait rapat dengan faktor personaliti pelajar iaitu :
  • Aktivis :Gemar mencari pengalaman baru, berfikiran terbuka dan mempunyai daya inkuiri yang tinggi, aktif dan gemar memberi idea
  • Reflektor : Gemar menganalisis data sebelum bertindak, banyak berfikir dan jarang bertindak spontan, sangat berhati-hati sehinggakan kelihatan pasif
  • Teoris : Golongan yang bersifat objektif, merumus sesuatu berdasarkan hujah,fakta,bukti, analisis data dan logik
  • Pragmatis : Gemar melakukan eksperimen dan mencuba idea, teori dan teknik serta memastikan kebolehgunaannya dalam kehidupan sebenar. Golongan ini berpendapat bahawa jika sesuatu itu berguna dan bermanfaat maka ia adalah baik.

Manusia itu Unik

Setiap manusia yang dilahirkan adalah unik dan dilahirkan dengan ciri-ciri tersendiri yang istimewa. Malahan setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain. Oleh hal demikian, kajian terhadap perbezaan individu memainkan peranan penting terutamanya kepada guru, pensyarah dan kaunselor. Hal ini memudahkan perlaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara berkesan dan menyeluruh. Perbezaan individu dapat dilihat dengan jelas melalui kajian personaliti. Menurut Borich (2002) didalam buku Psikologi Pendidikan menyatakan bahawa terdapat dua jenis perbezaan individu yang boleh dikenal pasti iaitu melalui interindividu dan intraindividu. Beliau mengulas ciri-ciri interindividu merupakan perbezaan yang wujud didalam diri individu yang dipengaruhi oleh masa,tempat dan keadaan. Manakala intraindividu pula merujuk kepada perbezaan yang jelas dipamerkan dan boleh dibezakan antara satu individu dengan individu yang lain.

Carl Jung (1961) turut memperjelaskan bahawa perbezaan individu boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis kumpulan besar iaitu ekstrovert,introvert dan ambivert. Beliau turut menjelaskan bahawa faktor sahsiah turut mampu mempengaruhi gaya pembelajaran individu.Atan Long(1978) menjelaskan bahawa perbezaan individu mampu memberi kesan yang besar terhadap kepelbagaian tingkah laku dan gaya pembelajaran didalam kelas.