Monday 7 May 2012

MENINGKATKAN KREATIVITI DALAM EKSPRESI SENI : TEORI MC FEE

Pendidikan Seni di sekolah seperti mana menurut sebahagian besar pengkaji Barat seperti Eisner(1972), Mario(1948), Victor Lowenfeld(1970), Lansing(1971) dan Efland(1977) berpendapat bahawa Pendidikan Seni adalah untuk mengembangkan potensi individu serta melahirkan bakat pelajar agar berupaya untuk memahami nilai seni untuk dirinya, masyarakat, warisan seni budaya serta nilai-nilai estetika secara global iaitu mengaitkan seni dengan kehidupan individu agar dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang terbaik.(untuk dirinya, masyarakat dan budaya.)



Mc Fee(1970) menekankan kepekaan terhadap alam sekitar di dalam matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni . Beliau menekankan empat asas dalam mengkaji seni iaitu:

a) Kajian dan bandingan makna iaitu kanak-kanak mengenal objek serta

bandingan objek melalui soalan-soalan yang dibina.

b) Belajar membaca mesej iaitu makna dan nilai pada objek mengaitkan makna

dengan nilai.

c) Kajian komunikasi antara penyusunan benda-benda di persekitaran dengan nilai-nilai dan unsur budaya.

d) Kajian dari perspektif individu membuat modifikasi sesuai dengan nilai-nilai dan budaya.

Seni telah diterima oleh masyarakat kita sebagai satu budaya hidup yang perlu dikekalkan. Perkembangan seni selari dengan perkembangan hidup manusia sejak zaman dahulu lagi. Justeru tidak hairan jika Mc Fee lebih menumpukan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat melalui penerokaan dalam menghasilkan seni. Apa juga corak yang dihasilkan mempunyai makna kebudayaan di dalamnya. Ini membuktikan betapa pengaruh kebudayaan amat ditekankan dalam matlamat kurikulum Mc Fee.

Teori beliau lebih komprehensif berhubung dengan pengamatan. Beliau percaya, ”…kanak-kanak melukis sebagaimana yang mereka lakukan dan bukanlah disebabkan satu-satu faktor tetapi disebabkan oleh semua”.

Mengikut teori ini kebudayaan adalah penting. Seni dan kurikulum seni adalah sebahagian dari kebudayaannya di mana kanak-kanak itu tinggal. Kebudayaan ini sebenarnya memberi kesan kepada pencapaian artistik kanak-kanak. Hari ini di mana-mana juga terdapat pelajar yang mewakili kebudayaan masing-masing. Mengikut Mc Fee (1970) lagi, adalah sangat mustahak setiap individu iaitu kanak-kanak dan ‘subculture’ dilindungi dan dipertahankan melalui seni tampak.

Bagi mencapai objektif bagaimana Pendidikan Seni dapat memperkembangkan warisan kebudayaan, (sasaran golongan masyarakat dan pelajar) , strategi dan pelaksanaan yang dicadangkan adalah seperti berikut;

a) Memberi peluang mengetahui pencapaian seniman lampau serta kini termasuk ’identiti’ mereka ketika menghasilkan karya mahupun melakukan aktiviti seni mereka.

- Pendekatan ini boleh memberi ruang dan peluang kepada individu terutama pelajar mencari dan mendapat idea seni melalui pengalaman kendiri mereka berdasar rujukan biografi para seniman tanahair. Ini kerana kita sedia maklum dalam kurikulum Mc Fee, beliau menekankan aspek kepekaan terhadap persekitaran dan alam dalam menghasilkan sesuatu karya. Pelajar boleh menggunakan persekitaran alam sekeliling mereka untuk dijadikan idea utama dalam pengolahan makna. Melalui ’design object’ ini pelajar menggunakan simbol-simbol untuk menyampaikan makna dan secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej yang ingin diluahkan. Tingkahlaku kognitif pelajar terbentuk mengikut kepekaan terhadap persekitaran dan alam. Maka tidak mustahil jika hasil karya mereka berdasar kepada pengalaman yang dilalui.

b) Membuat penyelidikan dan membanding makna melalui hasil karya lampau seseorang seniman sebagai bahan rujukan.

- Dalam seni kritikan, pengkritik seni berperanan menceritakan apa yang berlaku

di sebalik terhasilnya sesuatu karya itu supaya ia menjadi lebih bertenaga dan

bercahaya selepas digilap oleh pengkritik seni yang berwibawa. Bahkan

pengkritik seni perlu jujur dalam kritikannya. Secara tidak langsung

menerapkan rasa penghayatan masyarakat terhadap sesuatu karya yang

mengandungi simbol dan makna yang cuba disampaikan.

c) Memerhati seniman menyusun objek-objek yang dipilih sehingga menjadi satu karya yang mengandungi simbol dan makna.

- Seniman dilahirkan dengan bakat dan kreativiti yang tinggi. Kemampuan

seniman mengolah idea dengan adunan warna dan teknik memperlihatkan satu

kreativiti yang hebat. Karya seni merupakan satu manifestasi kejujuran. Seni

berperanan untuk mendidik penghayat (masyarakat).

Edmund Burke Feldman (1966) menyatakan seni sebagai satu bidang komunikasi yang berkesan kepada masyarakat.

Karya seni ini boleh dianggap sebagai himpunan khazanah, idea, sumber ilham untuk dijalin dan dianyam dengan sebaik mungkin.

d) Mempelajari cara seniman mentafsir idea untuk membentuk seni dengan

memperolehi pelbagai kesan melalui penggunaan asas senireka dan bahasa

seni visual.

- Manusia mempunyai emosi dan perasaan dan mahu meluahkan perasaan mereka. Manusia mahu berkongsi perasaan dan emosinya dengan orang lain. Justeru terdapat pelbagai cara perlakuan manusia untuk menterjemahkan perasaan dan emosinya itu. Charlotte Wolff (1970) dalam bukunya ’Psychology of Gesture’ telah mengkaji perlakuan manusia dan menyatakan manusia mengeluarkan pernyataan perasaannya di bawah sedar dan tanpa kawalan diri.

Tidak dinafikan jika manusia dikatakan sebagai makhluk budaya. Manusia hidup dalam aura budaya yang penuh dengan simbol-simbol, yang menyiratkan makna, yang difahami dan dihayati bersama dalam kelompok masyarakatnya. Geertz seorang ahli antropologi menyatakan; ”Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang ditenunnya sendiri”.

Ini menunjukkan manusia dalam kehidupannya mampu mencipta, menampung dan menggunakan simbol sebagai medium untuk berkomunikasi dan manusia hidup dalam belantara simbol. Kemampuan manusia boleh diperolehinya melalui pendidikan, kerana pendidikan adalah proses budaya. Bagaimana budaya tercipta? Tentulah melalui seni warisan bangsanya.

Siti Hayati Hj Mohd Yusoff

No comments:

Post a Comment