Monday 7 May 2012

HUBUNGAN SENI DALAM KEHIDUPAN SOSIAL

Matlamat Pendidikan Seni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berbudaya dalam kehidupan, imaginatif, kreatif, intelek, inovatif dan afektif terhadap ciri-ciri estetika agar diamalkan untuk pembinaan insan yang seimbang dan harmonis. Dalam banyak perkara, matlamat Lansing yang paling hampir dengan matlamat KPM iaitu melahirkan individu yang berimaginatif, kreatif dan berpengetahuan di samping boleh menggunakan pengetahuan seni dalam kehidupan seharian (seni sebagai cara hidup).



Seni dapat membentuk jiwa dan peribadi manusia. Ia boleh dianggap salah satu unsur yang dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Peranan Pendidikan Seni yang berteraskan seni adalah bertujuan melahirkan seseorang indivdu yang bersifat kreatif, inovatif, berimaginatif, berketrampilan serta menguasai teknologi dalam menghasilkan citarasa dalam penciptaan bahkan mampu melahirkan pelajar yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Di samping memahami nilai-nilai estetika dan faham akan norma-norma kebudayaan yang berteraskan kebudayaan kebangsaan.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, tentulah anggota masyarakat mengharapkan bidang seni ini boleh menyumbang sesuatu bertujuan membentuk generasi yang berdikari dan yakin diri. Justeru dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar boleh memilih bidang ini untuk membentuk satu profesion baru seterusnya menjadikan seni sebagai profesion sepenuh masa kerana terdapat ramai artist yang mampu hidup selesa melalui bidang ini.

Seni juga berperanan penting dalam pembangunan manusia, malahan boleh dianggap sebagai agen perubahan masyarakat. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada disedari atau tidak telah meletakkan seni di tempat yang sewajarnya.

Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Ini bertujuan supaya masyarakat tidak mengabaikan nilai-nilai estetika dan moral yang menjadi aset penting dalam pembangunan negara.

Sekolah dan institusi pengajian tinggi merupakan tempat paling wajar. Peranan murid, guru dan pihak pendidikan (pengurusan pentadbiran) amat penting untuk merealisasikan perkara itu. Justeru semua masyarakat boleh memainkan peranan menjadi ahli atau individu yang ada kepentingan untuk menjadi warga yang dapat memberikan sumbangan ke arah mengekalkan seni, budaya dan warisannya.

Seni dianggap sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia, untuk berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung sesama manusia, kesenian adalah penghubung kepada faktor-faktor terpenting ini. Masyarakat perlu diberi pendedahan tentang kewajaran seni dikembangkan berdasar keperluan manusia. Manusia sendiri adalah seni di mana kejadian awal manusia adalah ciptaan Allah SWT.

Pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus sahaja tetapi pelajar perlu diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan, hubungkait dan pengaruh seni itu sendiri. Beliau menggariskan beberapa perkara penting berkaitan dengan Pendidikan Seni tersebut iaitu:

a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibat seni sebagai budaya visual

b) Kaitan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu karya seni

c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam P&P seni

d) Analisis unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni/objek

e) Memahami sesuatu hail seni dan bentuk dari sudut kontent

f) Gabungkan unsur teknologi dalam pendidikan Seni

g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, harus dilihat dari segi kritikan konstruktif yang membina

Kesimpulannya di sini dalam kehidupan harian kita sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan seni. Tidak kira sebesar mana peranannya terhadap kehidupan kita, namun kepentingan seni wajar dilihat sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Penglibatan seni hampir menyeluruh, terutama jika dilihat tentang penggunaan bahan peralatan di rumah, susunan perabut, pemilihan warna dan fesyen pakaian dan banyak lagi perkara yang bersangkutan dengan kehidupan. Semuanya ini mempunyai kaitan dengan seni dan falsafah masyarakat.

Siti Hayati Hj Mohd Yusoff

No comments:

Post a Comment